Sunday 9 September 2012

Ekosistem - Tasik


EKOSISTEM – TASIK
(Disediakan oleh PH.Poh)

Aliran Tenaga dan Siratan Makanan dalam Ekosistem Tasik
    Tasik Chini

     Ekosistem tasik merupakan sebahagian daripada ekosistem air (ekosistem akuatik) yang tidak berarus yang turut dipanggil sebagai ekosistem Lentus. Ekosistem tasik mempunyai unsur atau komponen biotik (hidupan) dan abiotik (bukan hidupan) yang unik dan tersendiri.

  
     Oleh kerana ciri atau sifat air tasik adalah tidak berarus, maka hidupannya juga adalah agak berbeza dengan ekosistem akuatik yang berarus seperti sungai, terutamanya dari segi bahan substrat, kadar dan kuantiti penerimaan cahaya matahari dan suhu airnya.
     
     Pada asasnya, zon-zon hidupan yang terdapat dalam tasik terbahagi kepada

beberapa peringkat dan setiap peringkat zon tersebut mempunyai organisma hidupan yang berlainan. Zon-zon yang dimaksudkan ini terdiri daripada :

 i) zon litoral

ii) zon limne
                                    
iii) zon profundal

Pembahagian zon hidupan dalam ekosistem tasik




Komponen abiotik (bukan hidupan) dalam sesebuah ekosistem tasik termasuklah 
- cahaya matahari, air, udara, pelbagai jenis garam galian, dll.

Komponen biotik (hidupan) dalam sesebuah ekosistem tasik pula adalah berbeza-beza berdasarkan zon-zon hidupan, iaitu:


i. Zon Litoral terdiri daripada;
- pokok keladi, teratai, lembayung dsb, zooplankton, kumbang air, jentik-jentik, berudu, katak, telur / larva pelbagai serangga dsb.
- zon yang paling kaya dengan pelbagai jenis organisma.

ii. Zon Limne terdiri daripada;
 - dipenuhi oleh tumbuhan autotrof yang bertindak sebagai pengeluar.
 - cth: plankton, diatom, lumut, alga, beberapa jenis tumbuhan air spt hidryll sp., elodea sp., utricularia sp., hidupan seni spt krustasea, protozoa, rotifera spt philodium gregaria,dsb.
 - zon yang sentiasa terima cahaya matahari.

iii. Zon Profundal terdiri daripada;
 - organisma hetertrof selaku karnivor.
 - cth: pelbagai jenis ikan, labi-labi, kura-kura, ular air dsb.
 - kawasan yang tidak terima cahaya matahari dan merupakan dasar tasik.

Aliran tenaga dalam siratan makanan ekosistem tasik


Aliran Tenaga Dalam Ekosistem Tasik
     Interaksi antara komponen biotik dan abiotik telah membentuk pola rantaian atau siratan makanan yang unik dan tersendiri.

     Pola-pola siratan makanan ini memperlihatkan berlakunya aliran atau pergerakan atau perpindahan tenaga dari satu peringkat pengguna ke peringkat pengguna yang seterusnya.


 Aliran tenaga yang berlaku dalam siratan makanan tasik boleh dijelaskan seperti berikut:

 i) Tenaga (haba) dari matahari diterima oleh tumbuhan hijau (keladi, teratai, lumut, alga). Tenaga kimia terhasil melalui proses fotosintesis yang dijalankan apabila tumbuhan selaku pengeluar membuat makanannya sendiri. Matahari bertindak sebagai pembekal utama tenaga asas kepada semua hidupan yang terdapat dalam tasik.

ii) Tenaga kimia yang disimpan dalam tumbuhan pengeluar itu seterusnya akan dipindahkan pula kepada hidupan zooplankton apabila hidupan tersebut memakan tumbuhan berkenaan. Pada aras trofik ini, zooplankton (pelbagai hidupan seni) berperanan sebagai pengguna primer.

iii) Tenaga kimia dalam zooplankton (pengguna primer) ini pula berpindah kepada pengguna sekunder (ikan-ikan kecil dan cacing) apabila haiwan berkenaan memakan zooplankton tadi. Tenaga kimia yang dipindahkan ini digunakan untuk tumbesaran, bergerakan dan membiak.

iv) Seterusnya tenaga kimia yang disimpan di dalam pengguna sekunder pula akan dipindahkan / berpindah ke pengguna tertier (ikan-ikan yang lebih besar) apabila ikan-ikan ini memakan ikan-ikan kecil dan cacing/ ulat. Dalam konteks ini, sekali lagi tenaga kimia yang dipindahkan itu berfungsi untuk tumbesaran, bergerak dan membiak.

v) Akhirnya, tenaga kimia yang terdapat di dalam pengguna tertier akan berpindah / dialirkan kepada pengurai yang terdiri daripada bakteria, fungi dan protozoa apabila ianya menguraikan segala pengguna yang telah mati dan reput daripada tumbuhan dan haiwan yang terdiri daripada pengguna primer, sekunder dan tertier. Bahan organik yang reput ini akan menambahkan nutrien dalam tasik tersebut. Nutrien-nutrien tadi akan digunakan kembali oleh tumbuhan autotrof untuk tumbesaran.

Kesimpulan - aliran dan perpindahan tenaga dari satu tingkat pengguna ke tingkat pengguna yang seterusnya hanya akan berlaku apabila berlakunya proses makan dan memakan serta penguraian dan pereputan oleh organisma pengurai.

No comments:

Post a Comment