Sunday, 9 September 2012

Sejarah Perkembangan Pendidikan Alam Sekitar


TAJUK 1: PENGENALAN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR 
(Disediakan oleh : P.H.POH dan C.F.KUAN)
Sejarah Perkembangan Pendidikan Alam Sekitar
Menurut sejarah, pengasas atau Bapa Pendidikan Alam Sekitar ialah Sir Patrick Geddes (1854-1933) manakala orang yang pertama menggunakan nama istilah Pendidikan Alam Sekitar ialah Thomas Pritchard semasa persidangan IUCN di Paris dalam tahun 1958.  Beberapa persidangan di peringkat antarabangsa seperti Persidangan Stockholm (1972), Tbilisi (1977), The Belgrade Charter (1975), Malta (1991), Agenda 21 (1992) sehinggalah terhasilnya Laporan Kabinet (1979) di Malaysia. Ini merupakan faktor pencetus kepada arena perbincangan tentang alam sekitar dunia serta peranan Pendidikan Alam Sekitar dalam memastikan keseimbangan alam sekitar.

Ekoran daripada Persidangan Stockholm serta beberapa persidangan lain ini akhirnya telah berjaya merangka suatu garis panduan, prinsip, matlamat dan juga objektif Program Pendidikan Alam Sekitar. Persidangan Stockholm telah diadakan pada 5-16 Jun, 1972 di StockholmSweden dengan tema “Prinsip dan Alam Sekitar Manusia” (Human Environment and Principles) dan dianjurkan oleh United Nations. Tujuan persidangan ini adalah untuk mencapai satu keputusan tentang pendekatan global yang diperlukan bagi mencari penyelesaian terhadap situasi kemerosotan alam sekitar yang semakin hari semakin bertambah.

Persidangan Tbilisi pada tahun 1977 merupakan persidangan Pendidikan Alam Sekitar yang pertama di dunia dan melibatkan ramai pemerintah atau kerajaan di seluruh dunia. Persidangan ini dikendalikan oleh United Nations Education, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dengan kerjasama U.N. Environment Programme (UNEP) dan diadakan di TbilisiGeorgia (USSR) pada 14-26 Oktober 1977. Persidangan ini telah dihadiri oleh 265 delegasi dan 65 pembentang serta pemerhati termasuk 3 organisasi antara kerajaan dan 20 organisasi bukan kerajaan antarabangsa.

Dalam persidangan ini, garis panduan, matlamat, serta objektif Pendidikan Alam Sekitar merentas kurikulum dan latihan dalam dan pra-perkhidmatan bagi guru-guru telah diputuskan. Kesinambungan dengan itu, satu Seminar Latihan Alam Sekitar telah diadakan di Malta pada tahun 1991 di bawah anjuran UNESCO. Seminar ini mengesyorkan bahawa matlamat utama Pendidikan Alam Sekitar adalah untuk membantu masyarakat sarwajagat menyedari dan memahami isu-isu alam sekitar di samping dapat menguasai kemahiran dan kesungguhan dalam usaha mengatasi isu-isu alam sekitar serta dalam masa yang sama dapat mengekalkan kualiti alam sekitar dan secara langsung dapat meningkatkan kualiti kehidupan manusia.

Di Malaysia, Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara. Hasil Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979 memutuskan pelaksanaan Pendidikan Alam Sekitar merentas kurikulum dalam struktur Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

KBSR mula menerapkan Pendidikan Alam Sekitar merentas kurikulum bermula dengan subjek Alam & Manusia bagi pelajar tahun 4 hingga 6. Penerapan Pendidikan Alam Sekitar merentas kurikulum juga dilakukan dalam subjek lain seperti Matematik, Muzik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Agama Islam. Sehubungan dengan itu juga pihak Pusat Perkembangan Kurikulum telah membina satu garis panduan untuk guru-guru dengan mengeluarkan satu buku bertajuk “Buku Panduan Guru Pendidikan Alam Sekitar Merentas Kurikulum KBSR” pada tahun 1998.

Matlamat Pendidikan Alam Sekitar
Semasa Deklarasi Tblisi 1977, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah bersetuju menetapkan matlamat, objektif dan prinsip Pendidikan Alam Sekitar bagi negara-negara di seluruh dunia. Matlamat Pendidikan Alam Sekitar ialah untuk:
(i) Menggalakkan kesedaran dan keprihatinan terhadap ekonomi, sosial, politik, and saling bergantungan ekologikal di bandar dan luar bandar.
(ii) Menyediakan peluang kepada semua orang untuk memperoleh pengetahuan, nilai, sikap, komitmen dan kemahiran untuk melindungi dan memperbaiki alam sekitar.
(iii) Menghasilkan corak tingkah laku baru terhadap alam sekitar dalam kalangan individu, kumpulan dan masyarakat seluruhnya.

Menurut UNESCO (1976), matlamat utama Pendidikan Alam Sekitar adalah seperti kenyataan berikut. 

“…. to develop a world population that is aware of and concerned about environment and its associated problems and which has the knowledge, skills, attitudes, motivation and commitment to work individually and collectively towards the solution of its current problem and prevention of new ones.”
(UNESCO, 1976)

Objektif Pendidikan Alam Sekitar
Persidangan Tbilisi 1977 juga telah menetapkan lima objektif Pendidikan
Alam Sekitar seperti berikut:
(i) Kesedaran - untuk membantu kumpulan sosial dan individu memperoleh kesedaran dan sensitiviti terhadap alam sekitarseluruhnya dan permasalahan alam sekitar.
(ii) Pengetahua - untuk membantu kumpulan sosial dan individu memperoleh pelbagai jenis pengalaman dan kefahaman asas terhadap alam sekitar dan permasalahan alam sekitar.
(iii) Sikap - untuk membantu kumpulan sosial dan individu memperoleh satu set nilai dan perasaan keprihatinan terhadap alam sekitar dan motivasi untuk aktif terlibat dalam pemeliharaan dan pembaikan alam sekitar.
(iv) Kemahiran: untuk membantu kumpulan sosial dan individu
memperoleh kemahiran untuk mengenal pasti dan
menyelesaikan masalah alam sekitar.
(v) Penglibatan - untuk menyediakan peluang kepada kumpulan sosial dan individu terlibat secara aktif pada semua peringkat bagi menghasilkan resolusi terhadap masalah alam sekitar.

Menurut Muthoka (1985), objektif utama Pendidikan Alam Sekitar adalah untuk memperbaiki kesedaran, membangkitkan prihatin yang berupaya membawa kepada perubahan komitmen dan mengambil tindakan. Pendidikan Alam Sekitar merupakan satu proses pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal untuk mengubahsuai kefahaman dan sikap manusia agar lebih prihatin terhadap alam yang telah banyak berjasa kepadanya (Abdul Manaf Muda, 1993).

Semasa Persidangan Tbilisi 1977 juga terdapat 12 prinsip Pendidikan Alam Sekitar telah ditetapkan iaitu:
(i) Mengambil kira keseluruhan alam sekitar termasuklah alam sekitar semula jadi dan buatan, teknologi dan sosial seperti ekonomi, politik, sejarah, budaya, etika dan estetika.
(ii) Menjadi satu proses sepanjang hayat, bermula dari peringkat prasekolah dan disambung sehingga peringkat pendidikan formal dan bukan formal.
(iii) Menggunakan pendekatan merentas kurikulum dengan menerapkan nilai-nilai alam sekitar kepada mata pelajaran khusus setiap disiplin dalam bentuk perspektif yang holistik dan seimbang.
(iv) Menilai isu-isu utama alam sekitar dari pandangan tempatan, nasional dan antarabangsa.
(v) Memfokuskan kepada potensi situasi alam sekitar terkini dengan mengambil kira perspektif sejarah.
(vi) Mempromosikan nilai dan keperluan berasaskan tempatan, nasional dan kerjasama antarabangsa dalam mencegah dan menyelesaikan masalah alam sekitar.
(vii) Mengambilkira dengan terperinci setiap aspek alam sekitar
dalam plan pertumbuhan dan pembangunan.
(viii) Membolehkan pelajar berperanan dalam merancang pengalaman pembelajaran dan mendapat peluang untuk membuat dan menerima keputusan bersama.
(ix) Menghubungkait sensitiviti alam sekitar, pengetahuan, kemahiran penyelesaian masalah dan nilai yang jelas kepada semua peringkat umur dengan memberi penekanan khusus terhadap sensitiviti alam sekitar.
(x) Membantu pelajar meneroka simptom dan penyebab bagi masalah sebenar alam sekitar.
(xi) Menekankan kompleksiti masalah alam sekitar dan keperluan untuk membina pemikiran kritikal dan kemahiran penyelesaian masalah.
(xii) Menggunakan pembelajaran alam sekitar secara pelbagai dan pendekatan pendidikan yang meluas bagi mengajar, belajar tentang dan dari alam sekitar dengan menekankan kepada aktiviti praktikal dan pengalaman sebenar.

Buku Rujukan
Abdul Manaf Muda. (1993). Pendidikan Alam Sekitar. Jurnal Akademik
Maktab Perguruan Kuala Terengganu. 8: 67-75.
Bahagian Pendidikan Guru. (2003). Modul Pendidikan Alam Sekitar:
Kursus Pendek Kelolaan Maktab (KPKM)Malaysia: Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Bahagian Pendidikan Guru. (1997). Huraian Sukatan Pendidikan Alam
Sekitar Diploma Perguruan MalaysiaMalaysia: Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Kartini Abdul Mutalib. (2008). Keberkesanan modul pengajaran
Ekosistem Hutan Tropika dalam meningkatkan pengetahuan dan
sikap pelajar. Tesis Phd. Fakulti Pengajian Alam Sekitar. UPM.
Serdang. Tidak diterbitkan.
Barraza, L., Duque-Aristizabal, A.M. dan Robolledo, G. (2003).
Environmental Education: from policy to practiceThe Journal of
Environmental Education. 9(3): 347-357.
Hart, E.P. (1981). Identification of key characteristics environmental
education. The Journal of Environmental Education. 13(1): 12-16.
Hungerford, H.R. dan Volk, T.L. (1990). Changing learner behaviour
through environmental education. The Journal of Environmental
Education. 21(3): 8-12.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (1998). Buku panduan guru:
Pendidikan Alam Sekitar merentas kurikulum KBSRKuala Lumpur:
Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.
Palmer, J. dan Neal, P. (1994). The handbook of environmental
educationLondon and New York: Routledge.
Rozita Ibrahim. (2001). Pendidikan alam sekitar: Isu dan cabaran. Dlm,
Jamaluddin Md Jahi dan Mohd Jailani Mohd Nor. Environmental
management 2001. Proceeding national seminar on environmental
management: Current development and future planning (hlm. 23-30).
14-15 Ogos 2001, Bangi, Selangor.
UNESCO-UNEP. (1978). Final Report: Intergovernmental Conference on
Environmental Education (TbilisiUSSR)Paris: UNESCO.

Rujukan Laman Web:
http://en.wikipedia.org/wiki/United_Nations_Conference_on_the_Human_
Environment
http://en.wikipedia.org/wiki/Agenda_21
http://unesdoc.unesco.org/images/0013/001334/133472eo.pdf
http://www.gdrc.org/uem/ee/tbilisi.html
http://www.un.org/documents/ecosoc/cn17/2000/ecn172000-8.htm
http://www.unep.org/Documents.Multilingual/Default.asp?DocumentID=97
http://www.un-documents.net/unchedec.htm
http://www.un-documents.net/rio-dec.htm
http://www.un.org/esa/dsd/agenda21/

1 comment: